Gambaran keseluruhan Pertanian

Peratusan penduduk yang mengerjakan pertanian telah merosot dengan berlalunya masa. Keluaran pertanian pada 2005.

Pertanian telah memainkan peranan yang utama dalam perkembangan tamadun, dengan sebahagian jumlah penduduk yang amat besar mengerjakan pertanian sehingga Revolusi Perindustrian. Pembangunan teknik pertanian telah meningkatkan daya pengeluaran pertanian secara beransur-ansur, dengan tempoh sewaktu teknik itu tersebar secara meluas sering dikenali sebagai revolusi pertanian. Peralihan yang luar biasa dalam amalan pertanian berlaku pada abad yang lalu sebagai tindak balas kepada teknologi baharu. Khususnya, kaedah Haber-Bosch untuk mensintesis ammonium nitrat mengurangkan keperluan amalan tradisional yang membabitkan kitar semula nutrien menerusi penggiliran tanaman dan baja haiwan.

Nitrogen tiruan, bersama-sama dengan fosfat batuan lombong, racun perosak, dan penjenteraan telah meningkatkan hasil tanaman secara ketara pada awal abad ke-20. Bekalan bijian yang semakin bertambah juga menyebabkan ternakan yang lebih murah. Tambahan lagi, kenaikan hasil sedunia telah dialami pada akhir abad ke-20 apabila kelainan hasil tinggi bijian ruji yang umum seperti padi, gandum, dan jagung diperkenalkan sebagai sebahagian Revolusi Hijau. Revolusi Hijau mengeksport teknologi (termasuk racun perosak dan nitrogen tiruan) dari dunia maju ke dunia membangun. Thomas Malthus terkenal kerana meramalkan bahawa Bumi tidak berupaya menampung jumlah penduduk yang semakin bertambah, tetapi teknologi seperti Revolusi Hijau telah membenarkan dunia menghasilkan lebihan makanan.[7]

Banyak pemerintahan mengamalkan pertanian bersubsidi untuk memastikan bekalan makanan yang mencukupi. Subsidi pertanian ini seringnya dikaitkan dengan pengeluaran komoditi yang tertentu seperti gandum, agung, padi, kacang soya, dan susu. Sesungguhnya, subsidi itu, terutamanya apabila dimulakan oleh negara maju, telah diperhatikan sebagai langkah pelindung yang tidak cekap dan menjejaskan persekitaran.[8] Pada abad yang lalu, pertanian telah dicirikan oleh daya pengeluaran yang tertingkat, penjenteraan, pencemaran air, dan susidi ladang. Penyokong perladangan organik seperti Sir Albert Howard mendebatkan pada awal 1900-an bahawa penggunaan lebihan racun perosak dan baja tiruan menjejaskan kesuburan tanih pada jangka panjang. Sedangkan perasaan ini terpendam berdekad-dekad lamanya, terdapat arah aliran yang menuju kepada pertanian boleh kekal oleh sesetengah petani, pengguna, dan pembuat dasar sewaktu kesedaran persekitaran meningkat pada 2000-an. Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, terdapat tindak balas yang hebat terhadap kesan persekitaran luaran yang diakibatkan oleh pertanian aliran utama, khususnya pencemaran air,[9] yang membawa kepada pembentukan gerakan organik. Salah satu pengaruh yang utama di belakang gerakan ini ialah Kesatuan Eropah yang mula-mulanya mengesahkan makanan organik pada 1991. Seterusnya pada 2005, ia membuat pembaharuan pada Dasar Pertanian Umum (CAP) yang dikenali sebagai penyahgandingan untuk menghentikan sebarang subsidi ladang berkait komoditi secara berperingkat-peringkat.[10] Pertumbuhan perladangan organik telah membaharui penyelidikan teknologi alternatif seperti pengurusan perosak sepadu dan pembiakbakaan pilihan, dengan pembangunan teknologi aliran utama yang terkini termasuklah makanan terubah suai genetik.

Selewat 2007, sebilangan faktor menyebabkan kenaikan harga bijian yang digunakan sebagai makanan untuk ayam itik, serta juga lembu tenusu dan lembu yang lain. Ini menyebabkan kenaikan harga gandum (naik 58%), kacang soya (naik 32%), dan jagung (naik 11%) pada sepanjang tahun tersebut.[11][12] Rusuhan makanan baru-baru ini telah berlaku di banyak negara di seluruh dunia.[13][14][15] Juga pada 2007, satu epidemik karat batang gandum yang diakibatkan oleh ras Ug99 merebak ke seluruh Afrika lalu masuk ke Asia dan menimbulkan rasa bimbang yang utama.[16][17][18] Justera, lebih kurang 40% daripada tanah pertanian di seluruh dunia dinyahgredkan dengan teruk.[19] Jika arah aliran semasa dalam pemerosotan tanah berterusan di Afrika, benua itu mungkin hanya berupaya menghasilkan makanan untuk 25% daripada penduduknya menjelang 2025, menurut Institut untuk Sumber Semula Jadi yang dikendalikan oleh United Nations University (UNU) di Ghana, Afrika.[20]

Rujukan

WikiPedia: Pertanian http://www.scq.ubc.ca/?p=704 http://www.ucalgary.ca/news/feb2007/early-farming/ http://www.atimes.com/atimes/South_Asia/HG21Df01.h... http://www.csmonitor.com/2007/0724/p01s01-wogi.htm... http://www.financialpost.com/story.html?id=213343 http://www.history-magazine.com/potato.html http://www.marketwatch.com/story/bioengineers-aim-... http://news.mongabay.com/2006/1214-unu.html http://environment.newscientist.com/channel/earth/... http://www.nytimes.com/1989/09/08/us/science-acade...